Pada awalnya saya mula mendengar dan akhirnya meminati untuk membaca buku ini apabila saya mendengar ceramah Dr MAZA di dalam sebuah video dalam youtube:
Di dalam buku ni Buya Hamka telah menjawab beberapa tuduhan yang dilemparkan oleh Tuan Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad, Mufti Johor pada masa itu kepada Kaum Muda. Antara tuduhannya ialah Kaum Muda Indonesia telah menyebabkan 30 juta rakyat Indonesia menjadi Komunis, Kaum Muda mengambil fatwa daripada Ahmadiyyah (Qadiani) dan lain-lain lagi.
Hal ini diulas panjang oleh Hamka apabila beliau menulis manuskrip yang bertajuk Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor yang diterbitkan oleh Persatuan Muhammadiyyah Singapura pada tahun 1958.
Selain daripada membalas tuduhan Mufti Johor, Hamka juga telah menjawab beberapa persoalan lain yang sering dikaitkan dengan Kaum Muda, antaranya isu khilafiyyah, isu tidak menghormati ulama, isu tidak menghormati Ahlul Bait dan isu kafir mengkafir.
Antara kata-kata beliau yang menarik yang terkandung dalam buku itu ialah apabila Hamka menjawab isu Kaum Tua mengharamkan pakaian barat dan gelaran Sayyid kepada bukan zuriat Rasulullah S.A.W,
"Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biarkan orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau ada fatwa dari mufti, hendaklah terima dengan: Na'am! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!"
Selain itu, Hamka juga menjawab isu Kaum Muda tidak menghormati ulama',
"Hal ini akan saya huraikan dengan saksama, Kaum-muda amat hormat kepada Ulama. Kami sangat patuh kepada Ulama ikutan kita keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbali. Demikian cinta dan hormat kami kepada beliau-beliau sehingga kalau ada Ulama yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba mengahalangi kami bertemu dengan pendapat-pendapat beliau-beliau, kami sirwak (memalukan) apa Ulama lain itu dan kami berkata ke pinggirlah engkau kami hendak bertemu dengan beliau!"
Walaupun Hamka menjawab tuduhan Mufti Johor, beliau tetap menghormati mufti Johor.
"Dan jika pada suatu waktu saya dilapangkan Tuhan dapat berjumpa dengan beliau dan menghadap wajahnya, saya akan tetap berlaku hormat. Pertama, kerana beliau orang yang alim lagi salih. Kedua, kerana beliau orang tua. Ketiga, kerana beliau daripada ahlul bait, adanya."

nice (^(エ)^)
ReplyDelete